la ilahaillallah

la ilahaillallah

Friday, December 16, 2011

Simpulan Syahadah Kedua

Antara perkara yang wajib kita imani daripada syahadah yang kedua adalah beriman dan membenarkan dengan apa yang disampaikan oleh Nabi Muhammad e. Antara perkara yang disampaikan dan wajib kita imani adalah:
1)   Azab kubur, dan ia adalah dengan jasad dan ruh. Antara azabnya adalah dilihatkan kepada orang kafir akan neraka dua kali sehari, sekali di awal hari dan sekali di penghujung hari dan disempitkan kubur hingga bertemu tulang yang kiri dengan yang kanan.  Azab kubur juga boleh berlaku bagi orang muslim yang mati dalam keadaan maksiat yang tidak sempat bertaubat.
2)    Nikmat kubur. Antaranya diluaskan kubur 70 hasta dalam dan lebar dan ada juga diluaskan kubur sejauh mata memandang. Selain itu, kubur diterangi dengan cahaya yang menyerupai cahaya bulan purnama dan dapat mencium bau syurga. Nikmat ini berlaku bagi orang yang beriman yang bertaqwa dan mereka yang Allah kehendak seperti sebahagian mereka yang mati syahid.
3)   Soalan dua malaikat Munkar dan Nakir dan ia berlaku bagi orang mukmin dan kafir dari umat Nabi Muhammad. Dan dikecualikan daripada soalan ini adalah Nabi, kanak-kanak yang mati sebelum baligh dan orang yang mati syahid dalam medan perang.
4)   Hari kebangkitan iaitu dikeluarkan orang yang mati daripada kubur selepas dikembalikan jasad mereka yang dimakan oleh tanah.  
5)   Hasyr iaitu dikumpulkan manusia di mahsyar. Selepas kebangkitan manusia semua menuju ke mahsyar untuk dikumpulkan.
6)   Hari kiamat iaitu dari keluarnya manusia dari kubur hingga menetap ahli syurga dalam syurga dan ahli neraka dalam neraka.
7)   Perhitungan iaitu dibentangkan amalan -amalan hamba bagi perkara yang telah mereka kerjakan di dunia dan ia berlaku di bumi yang digantikan.
8)   Pahala dan azab. Pahala adalah ganjaran yang dianugerahkan kepada orang mukmin di akhirat atas amalan solih. Azab adalah perkara yang menyeksakan hamba iaitu dimasukkan ke dalam neraka.
9)   Timbangan amal iaitu barang yang menimbang amalan hamba.
10) Neraka iaitu tempat  diazabkan orang kafir dan mereka kekal dalamnya dan tidak keluar dari situ selama-lamanya.  Wajib beriman neraka itu sudah ada sekarang dan kini ia berada di bawah lapisan bumi yang ketujuh dan ia akan kekal dan tidak akan binasa dengan kehendak Allah.
11) Titian sirat iaitu jambatan yang terbentang di atas neraka, satu sudut di bumi yang digantikan dan satu sudut di satu tempat menuju ke syurga.
12) Telaga iaitu tempat minuman yang telah Allah janjikan bagi ahli syurga untuk meminumnya selepas melintasi titian sirat sebelum masuk syurga.
13) Syafa’at iaitu meminta kebaikan dari orang yang memberi  syafaat supaya Allah melepaskan hukuman. Syafa’at hanya berlaku bagi orang Islam sahaja.
14) Syurga iaitu negeri nikmat yang menjadi tempat tinggal bagi orang Islam dan mereka kekal di dalamnya dengan nikmat dan tidak mati selama-lamanya. Wajib beriman syurga kini sudah ada dan ia terletak di atas langit yang ketujuh dan ia kekal dan tidak akan binasa dengan kehendak Allah.
15) Melihat Allah dengan mata kepala di akhirat dan ia khusus bagi orang mukmin sahaja. Orang mukmin yang di dalam syurga melihat Allah yang tidak berbentuk, tidak bertempat dan tidak berarah, tidak seperti dilihatnya makhluk. Orang mukmin berada dalam syurga sedang Allah bukan dalam syurga kerana Allah ada tanpa tempat dan arah dan zatNya kekal tidak bertempat.

Wajib juga kita beriman dengan malaikat Allah yang diciptakan daripada cahaya dan mereka tidak berjantina serta tidak makan dan tidak minum.  Mereka semua adalah muslim dan tinggal di langit dan mereka patuh dengan perintah Allah dan tidak sekali-kali melanggari perintah Allah.
Wajib juga beriman dengan para rasul. Rasul pertama adalah Adam dan terakhir adalah kekasih kita Muhammad. Beriman dengan kitab-kitab yang Allah turunkan kepada rasul-rasul. Beriman dengan ketentuan Allah yang baik dan buruk iaitu semua perkara yang baik dan buruk yang berlaku atas hamba telah ditentukan Allah pada azali.
Wajib beriman bahawa Nabi Muhammad adalah penutup para Nabi dan baginda adalah penghulu bagi kesemua Anak Adam  iaitu manusia.  
Insya Allah pada masa akan datang kita akan bincangkan tentang sifat-sifat nabi yang wajib kita imani.وااله أعلم وأحكم

No comments:

Post a Comment