la ilahaillallah

la ilahaillallah

Saturday, December 24, 2011

Sifat- sifat Para Anbiya’ ‘alaihimussalam

Ketahuilah wahai sahabat-sahabatku yang dikasihi sekalian, sesungguhnya Nabi dan Rasul itu adalah mereka yang  diwahyukan  oleh Allah dengan syariat untuk beramal dengannya dan menyampaikannya.  Perbezaannya, Rasul datang dengan membatalkan sebahagian syariat Rasul sebelumnya atau datang dengan syariat yang baru. Manakala Nabi diwahyukan kepadanya untukA mengikut syariat Rasul sebelumnya dan menyampaikannya.


Wajib kita berkeyakinan bahawa setiap Nabi daripada para Anbiya’ wajib bagi mereka bersifat dengan sifat benar , amanah dan cerdik iaitu boleh mematahkan hujah lawan dengan serta merta dan boleh memahamkan orang dengan sekali penerangan sahaja tanpa perlu mengulanginya.
Maka mustahil bagi mereka berdusta, khianat iaitu  membohongi manusia apabila diminta nasihat dan  memakan harta manusia dengan cara yang salah, mempunyai pandangan  syahwat terhadap wanita yang ajnabi, bodoh,  lemah berlawan hujah orang yang menentangnya,  berkata dengan perkataan yang buruk dan keji, tersalah bicara, pengecut dan setiap perkara yang menjauhkan orang dari menerima dakwahnya seperti berbadan busuk dan mempunyai penyakit yang menjijikkan.

Wajib bagi setiap Nabi daripada para Anbiya’ itu terpelihara daripada kekufuran, dosa-dosa besar dan dosa-dosa kecil yang hina(seperti mencuri biji anggur) sebelum kenabian dan selepas kenabian. Dan harus berlaku ke atas mereka  dosa-dosa kecil yang tidaklah hina tetapi mereka segera bertaubat sebelum diikuti perbuatan tersebut oleh orang lain. Ini kerana Nabi-nabi itu adalah contoh dan teladan bagi manusia dan dengan sebab itu Allah memelihara mereka dari perkara di atas dan juga sebagai memberitahu bahawa mereka adalah orang yang benar dan menjadi utusan Allah.  Maka perlu diambil berat disini bahwa tiada seorang Nabi pun yang pernah menjadi kufur seperti mana pandangan orang yang jahil. Mereka mengatakan bahawa Nabi Ibrahim mencari-cari tuhan sebelum dilantik menjadi Nabi. Pandangan mereka ini jelas mengatakan Nabi Ibrahim itu kafir sebelum dilantik menjadi Nabi kerana tidak kenal Allah dan mencari-cari jalan untuk mengenal  Allah. Fahaman sesat mereka ini kerana kedengkilan akal mereka yang tidak memahami Al-Quran sebagaimana yang difahami oleh para ahli tafsir.

Maka disini dapatlah diketahui bahawa kenabian tidak boleh berlaku pada saudara Nabi Yusuf  yang telah melakukan  perancangan untuk membunuh Nabi Yusuf dan membohongi Nabi Ya’kub yang Nabi Yusuf telah dimakan oleh serigala. Mereka itu adalah selain dari Bunyamin. Al-Asbath yang disebut dalam Al-Quran yang diturunkan wahyu kepada mereka  merupakan zuriat daripada saudara Nabi Yusuf dan bukanlah saudaranya yang merancang pembunuhan.

Selawat dan salam ke atas para Anbiya’.  Mereka merupakan golongan yang paling mulia daripada semua makhluk ciptaan Allah dan Nabi kita Muhammad adalah yang paling mulia dikalangan para Nabi dan semulia-mulia makhluk.   والله أعلم وأحكم

Friday, December 16, 2011

Simpulan Syahadah Kedua

Antara perkara yang wajib kita imani daripada syahadah yang kedua adalah beriman dan membenarkan dengan apa yang disampaikan oleh Nabi Muhammad e. Antara perkara yang disampaikan dan wajib kita imani adalah:
1)   Azab kubur, dan ia adalah dengan jasad dan ruh. Antara azabnya adalah dilihatkan kepada orang kafir akan neraka dua kali sehari, sekali di awal hari dan sekali di penghujung hari dan disempitkan kubur hingga bertemu tulang yang kiri dengan yang kanan.  Azab kubur juga boleh berlaku bagi orang muslim yang mati dalam keadaan maksiat yang tidak sempat bertaubat.
2)    Nikmat kubur. Antaranya diluaskan kubur 70 hasta dalam dan lebar dan ada juga diluaskan kubur sejauh mata memandang. Selain itu, kubur diterangi dengan cahaya yang menyerupai cahaya bulan purnama dan dapat mencium bau syurga. Nikmat ini berlaku bagi orang yang beriman yang bertaqwa dan mereka yang Allah kehendak seperti sebahagian mereka yang mati syahid.
3)   Soalan dua malaikat Munkar dan Nakir dan ia berlaku bagi orang mukmin dan kafir dari umat Nabi Muhammad. Dan dikecualikan daripada soalan ini adalah Nabi, kanak-kanak yang mati sebelum baligh dan orang yang mati syahid dalam medan perang.
4)   Hari kebangkitan iaitu dikeluarkan orang yang mati daripada kubur selepas dikembalikan jasad mereka yang dimakan oleh tanah.  
5)   Hasyr iaitu dikumpulkan manusia di mahsyar. Selepas kebangkitan manusia semua menuju ke mahsyar untuk dikumpulkan.
6)   Hari kiamat iaitu dari keluarnya manusia dari kubur hingga menetap ahli syurga dalam syurga dan ahli neraka dalam neraka.
7)   Perhitungan iaitu dibentangkan amalan -amalan hamba bagi perkara yang telah mereka kerjakan di dunia dan ia berlaku di bumi yang digantikan.
8)   Pahala dan azab. Pahala adalah ganjaran yang dianugerahkan kepada orang mukmin di akhirat atas amalan solih. Azab adalah perkara yang menyeksakan hamba iaitu dimasukkan ke dalam neraka.
9)   Timbangan amal iaitu barang yang menimbang amalan hamba.
10) Neraka iaitu tempat  diazabkan orang kafir dan mereka kekal dalamnya dan tidak keluar dari situ selama-lamanya.  Wajib beriman neraka itu sudah ada sekarang dan kini ia berada di bawah lapisan bumi yang ketujuh dan ia akan kekal dan tidak akan binasa dengan kehendak Allah.
11) Titian sirat iaitu jambatan yang terbentang di atas neraka, satu sudut di bumi yang digantikan dan satu sudut di satu tempat menuju ke syurga.
12) Telaga iaitu tempat minuman yang telah Allah janjikan bagi ahli syurga untuk meminumnya selepas melintasi titian sirat sebelum masuk syurga.
13) Syafa’at iaitu meminta kebaikan dari orang yang memberi  syafaat supaya Allah melepaskan hukuman. Syafa’at hanya berlaku bagi orang Islam sahaja.
14) Syurga iaitu negeri nikmat yang menjadi tempat tinggal bagi orang Islam dan mereka kekal di dalamnya dengan nikmat dan tidak mati selama-lamanya. Wajib beriman syurga kini sudah ada dan ia terletak di atas langit yang ketujuh dan ia kekal dan tidak akan binasa dengan kehendak Allah.
15) Melihat Allah dengan mata kepala di akhirat dan ia khusus bagi orang mukmin sahaja. Orang mukmin yang di dalam syurga melihat Allah yang tidak berbentuk, tidak bertempat dan tidak berarah, tidak seperti dilihatnya makhluk. Orang mukmin berada dalam syurga sedang Allah bukan dalam syurga kerana Allah ada tanpa tempat dan arah dan zatNya kekal tidak bertempat.

Wajib juga kita beriman dengan malaikat Allah yang diciptakan daripada cahaya dan mereka tidak berjantina serta tidak makan dan tidak minum.  Mereka semua adalah muslim dan tinggal di langit dan mereka patuh dengan perintah Allah dan tidak sekali-kali melanggari perintah Allah.
Wajib juga beriman dengan para rasul. Rasul pertama adalah Adam dan terakhir adalah kekasih kita Muhammad. Beriman dengan kitab-kitab yang Allah turunkan kepada rasul-rasul. Beriman dengan ketentuan Allah yang baik dan buruk iaitu semua perkara yang baik dan buruk yang berlaku atas hamba telah ditentukan Allah pada azali.
Wajib beriman bahawa Nabi Muhammad adalah penutup para Nabi dan baginda adalah penghulu bagi kesemua Anak Adam  iaitu manusia.  
Insya Allah pada masa akan datang kita akan bincangkan tentang sifat-sifat nabi yang wajib kita imani.وااله أعلم وأحكم

Saturday, December 3, 2011

Makna أَشْهَدُ أَنّ مُحَمّدً رّسُولُ الله



Setelah kita membincangkan mengenai syahadah yang pertama, maka perlu juga difahami akan syahadah yang kedua kerana tidak sah Islam seseorang melainkan dia menyebut dua kalimah syahadah ini. Makna syahadah yang kedua أشهد أن محمد رسول الله (aku bersaksi bahawa Muhammad itu pesuruh Allah) adalah : 

 أَشْهَدُ: aku bersaksi iaitu aku tahu, aku yakin dengan hatiku(aku membenarkan dan aku meredhai  dalam hatiku) dan aku menyebut dengan lidahku

أَنّ مُحَمّدً رّسُولُ الله : bahawa Muhammad bin Abdullah bin Abdul Muthalib bin Hasyim bin Abdi Manaf dari qabilah Quraisy adalah hamba Allah dan utusanNya kepada sekalian manusia dan jin.
Maka beriman dengan kerasulan Sayyiduna Muhammad adalah asas bagi makna syahadah yang kedua. Ayah nabi bernama Abdullah bin Abdul Muthalib dari bani Hasyim,  Ibunya bernama Aminah binti Wahb dari bani Zahrah dan kedua-duanya dari qabilah arab yang paling mulia iaitu qabilah quraisy. 

Diikuti dengan syahadah yang kedua ini wajib juga mengetahui bahawa Nabi Muhammad    dilahirkan di Makkah iaitu di Suq Al-lail pada bulan Rabi’ul Awwal tahun gajah dan diturunkan kepadanya wahyu ketika berumur 40 tahun yang melantiknya sebagai Nabi  di gua Hira’ iaitu di Makkah dan Nabi menetap di sana. Kemudian Nabi berhijrah ke Madinah Munawwarah dengan suruhan Allah dan wafat ketika berumur 63 tahun di bilik isterinya Sayyidatuna Aisyah iaitu di Madinah dan  dikebumikan di tempat yang sama. Nabi berdakwah di Makkah selama 13 tahun dan di Madinah selama 10 tahun. 

Wajib juga mengimani bahwa sesungguhnya Nabi Muhammad adalah orang yang benar pada sekalian perkara yang disampaikannya dari Allah dan tidak pernah tersalah dalam perkara ini sama sekali sama ada daripada cerita umat sebelum kita ataupun daripada perkara halal dan haram ataupun berita tentang perkara yang akan datang. Dan daripada perkara yang Nabi sampaikan dari Allah adalah tentang perkara sami'yat yang insya Allah kita akan bincangkan pada masa akan datang.   
و الله أعلم و أحكم