la ilahaillallah

la ilahaillallah

Saturday, December 24, 2011

Sifat- sifat Para Anbiya’ ‘alaihimussalam

Ketahuilah wahai sahabat-sahabatku yang dikasihi sekalian, sesungguhnya Nabi dan Rasul itu adalah mereka yang  diwahyukan  oleh Allah dengan syariat untuk beramal dengannya dan menyampaikannya.  Perbezaannya, Rasul datang dengan membatalkan sebahagian syariat Rasul sebelumnya atau datang dengan syariat yang baru. Manakala Nabi diwahyukan kepadanya untukA mengikut syariat Rasul sebelumnya dan menyampaikannya.


Wajib kita berkeyakinan bahawa setiap Nabi daripada para Anbiya’ wajib bagi mereka bersifat dengan sifat benar , amanah dan cerdik iaitu boleh mematahkan hujah lawan dengan serta merta dan boleh memahamkan orang dengan sekali penerangan sahaja tanpa perlu mengulanginya.
Maka mustahil bagi mereka berdusta, khianat iaitu  membohongi manusia apabila diminta nasihat dan  memakan harta manusia dengan cara yang salah, mempunyai pandangan  syahwat terhadap wanita yang ajnabi, bodoh,  lemah berlawan hujah orang yang menentangnya,  berkata dengan perkataan yang buruk dan keji, tersalah bicara, pengecut dan setiap perkara yang menjauhkan orang dari menerima dakwahnya seperti berbadan busuk dan mempunyai penyakit yang menjijikkan.

Wajib bagi setiap Nabi daripada para Anbiya’ itu terpelihara daripada kekufuran, dosa-dosa besar dan dosa-dosa kecil yang hina(seperti mencuri biji anggur) sebelum kenabian dan selepas kenabian. Dan harus berlaku ke atas mereka  dosa-dosa kecil yang tidaklah hina tetapi mereka segera bertaubat sebelum diikuti perbuatan tersebut oleh orang lain. Ini kerana Nabi-nabi itu adalah contoh dan teladan bagi manusia dan dengan sebab itu Allah memelihara mereka dari perkara di atas dan juga sebagai memberitahu bahawa mereka adalah orang yang benar dan menjadi utusan Allah.  Maka perlu diambil berat disini bahwa tiada seorang Nabi pun yang pernah menjadi kufur seperti mana pandangan orang yang jahil. Mereka mengatakan bahawa Nabi Ibrahim mencari-cari tuhan sebelum dilantik menjadi Nabi. Pandangan mereka ini jelas mengatakan Nabi Ibrahim itu kafir sebelum dilantik menjadi Nabi kerana tidak kenal Allah dan mencari-cari jalan untuk mengenal  Allah. Fahaman sesat mereka ini kerana kedengkilan akal mereka yang tidak memahami Al-Quran sebagaimana yang difahami oleh para ahli tafsir.

Maka disini dapatlah diketahui bahawa kenabian tidak boleh berlaku pada saudara Nabi Yusuf  yang telah melakukan  perancangan untuk membunuh Nabi Yusuf dan membohongi Nabi Ya’kub yang Nabi Yusuf telah dimakan oleh serigala. Mereka itu adalah selain dari Bunyamin. Al-Asbath yang disebut dalam Al-Quran yang diturunkan wahyu kepada mereka  merupakan zuriat daripada saudara Nabi Yusuf dan bukanlah saudaranya yang merancang pembunuhan.

Selawat dan salam ke atas para Anbiya’.  Mereka merupakan golongan yang paling mulia daripada semua makhluk ciptaan Allah dan Nabi kita Muhammad adalah yang paling mulia dikalangan para Nabi dan semulia-mulia makhluk.   والله أعلم وأحكم

No comments:

Post a Comment