la ilahaillallah

la ilahaillallah

Saturday, November 19, 2011

Golongan yang Selamat

Aqidah yang selamat adalah aqidah Ahli Sunnah wal Jama'ah iaitu mereka yang mengikuti aqidah Nabi Muhammad dan para sahabat Nabi yang mulia. Mereka yang berpegang dengan aqidah Ahli Sunnah wal Jama'ah kini terkenal dengan jolokan Asya'irah dan Maturidiah. Golongan Asya'irah adalah mereka yang mengikuti susunan aqidah al-Imam Abu Hasan Al-Asy'ari dan golongan Maturidiah adalah mereka yang mengikuti susunan aqidah al-Imam Abu Mansur Al-Maturidi. Tersebut di dalam kitab إِتحَافُ سَادَةِ المُتَّقِين (Syarah bagi Ihya Ulumuddin karangan al-Imam al-Ghazali) karangan al-Imam al-Hafiz al-Lughawi Murtadha az-Zabidi (W. 1205 H) pada jilid 2 halaman 6:
إِذَا أُطْلِقَ أَهْلُ السُّنَّةِ والجماعة فَالمُرَادُ بِهِم الْأَشَاعِرَةُ وَالمَاتُرِيدِيَّة 
ertinya: Apabila disebut Ahli Sunnah maka yang dimaksudkan dengan mereka ialah Asya'irah dan Maturidiah.

Majoriti ulama' sama ada Ahli Tafsir, Ahli Hadis, Ahli Fiqh, Ahli Tasawwuf, Ahli Bahasa dan Ahli Sejarah sejak kurun 4 hijrah sehingga kini berpegang dengan aqidah Asya'irah atau Maturidiah dan yang selari dengan keduanya. Maka sesuailah untuk dikatakan bahawa golongan Asya'irah dan Maturidiah adalah majoriti ummat Islam dan merupakan golongan yang selamat sebagaimana yang dikhabarkan oleh Nabi  dari hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Hibban yang maksudnya "Akan terpecah ummat ini kepada 73 golongan,kesemua mereka dalam neraka kecuali satu" ditanya Nabi "siapakah mereka itu?" Maka bersabda Nabi "Mereka adalah majoriti" 

Aqidah Ahli Sunnah wal Jama'ah berdiri atas dua asas utama:
1) I'tiqad iaitu percaya bahawa Allah adalah pencipta setiap sesuatu dan tiada pencipta selain Allah
2) I'tiqad bahawa Allah tidak sama dengan makhluk ciptaan-Nya

Asas yang pertama berdasarkan Firman Allah ta'ala:
وخلق كل شيء
Maksudnya: Dialah Allah yang menciptakan setiap sesuatu.
Perkataan "sesuatu" dari ayat ini merangkumi makhluk dan perbuatan makhluk. Maka, diri makhluk diciptakan oleh Allah, begitu juga perbuatan makhluk dari diamnya dan bergeraknya, diciptakan oleh Allah.

Adapun asas yang kedua berdasarkan firman Allah ta'ala:
لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْء
Maksudnya: tiada sesuatupun yang sama denganNya.

Maka fahamlah dari ayat ini bahawa Allah tidak sama dengan makhluk ciptaan-Nya. Tidaklah Dia berjisim, sama ada jisim yang boleh dipegang dengan tangan seperti batu, kayu dan manusia ataupun jisim yang tidak boleh dipegang dengan tangan seperti cahaya, ruh dan angin. Tidaklah juga Dia berbentuk, bersaiz,berarah, bertempat dan bermasa kerana ini semua adalah sifat makhluk dan Allah ta'ala tidak sama dengan makhluk ciptaannya. Allah ta'ala yang menciptakan cahaya, tidaklah Dia menyerupai cahaya, Dia yang menciptakan kegelapan maka tidaklah Dia menyerupai kegelapan, Dia yang menciptakan manusia, jin, haiwan dan sekalian makhluk dan tidaklah Dia sama dengan makhluk ciptaan-Nya. Maha suci Allah dari menyerupai ciptaanNya. Jika datang dalam pemikiran yang menggambarkan Allah seperti sekian atau sekian,  maka berpeganglah dengan perkataan yang telah diajarkan oleh para ulama' iaitu
"Apa sahaja yang tergambar di fikiranmu, Allah tidak seperti itu"

Antara perkara yang terkandung dari asas yang kedua adalah menyucikan Allah ta'alah dari bertempat dan berarah kerana jika ada bagi Allah itu bertempat pastinya ada bagi Allah itu persamaan, luas, panjang, lebar dan kedalaman, dan yang bersifat sebegini adalah baharu,berhajat kepada yang menetapkannya dengan  panjang,lebar dan kedalaman. Tempat adalah makhluk ciptaan Allah. Allah telah pun wujud pada azal sebelum Dia menciptakan tempat, tanpa bertempat, dan setelah Dia menciptakan tempat, Dia tidak berubah kepada bertempat kerana berubah daripada satu keadaan kepada satu keadaan adalah sifat makhluk dan  Allah maha suci daripada menyerupai maklukNya.

Inilah aqidah Islam yang sebenar iaitu berkeyakian bahawa Allah ada tanpa tempat,bukan di satu tempat , bukan di langit dan bukan di bumi, bukan juga dimana-mana tempat atau tidak tahu dimana tempat. Telah bersabda Nabi Muhammad:

أَنْتَ الظَّاهِرُ فَلَيْسَ فَوْقَكَ شَيْء وَأَنتَ البَاطِنُ فَلَيْسَ دُونَكَ شَيْء
maksudnya: Engkau yang Zhahir(jelas kewujudan Kau dengan adanya ciptaan ini) maka tiada di atas Kau sesuautpun, dan Engkau yang Bathin(yang tidak boleh digambarkan oleh fikiran) maka tiada di bawah Kau sesuatupun.

Telah berkata Al-Hafiz Ahmad bin Al-Husain Al-Baihaqi (w. 458H) dalam kitabnya أَلأَسْماَءُ وَالصِّفَات  :
Telah berdalil sebahagian golongan kami(Asya'irah dan Syafi'iah) dengan hadis ini atas menafikan tempat bagi Allah ta'ala, maka sesungguhnya apabila tidak ada di atasNya sesuatu dan tiada dibawahNya sesuatu, tidaklah Dia bertempat.  

Dan sabda Nabi lagi:

كَانَ اللهُ وَلَمْ يَكُنْ شَيْءٌ غَيْرُهُ   رواه البخاري
Maksudnya: Allah ada pada azal(tidak bermula) dan tiada sesuatupun selainNya pada azal

Telah berkata Imam Al-Baihaqi dalam kitabnya الإعتقاد  dalam menjelaskan makna hadis ini : menjadi dalil bahawa sesungguhnya tidak ada sesuatu selainNya(pada azal), tiada air, tiada 'Arasy dan tiada keduanya, dan tiada semua yang lain-lain. 

Dalil-dalil di atas sangat jelas menyatakan bahawa Allah ta'ala maha suci dari bertempat. Telah berkata Saiduna 'Ali bin Abi Thalib radhiyallhu 'anhu :


"كَانَ اللهُ وَلاَ مَكَان وَهُوَ الآنَ عَلَى مَا كَانَ" اه. أي أن الله تعالى موجود بلا مكان.
 رواه أبو منصور البغدادي في كتاب (الفرق بين الفراق)

Maksudnya: Allah ada pada azal dan tidak bertempat dan Dia kini (selepas menciptakan tempat) kekal wujudNya tanpa bertempat.  iaitu sesungguhnya Allah ada tanpa tempat.

Telah berkata Imam Syafi'e radhiyallhu 'anhu(w. 204H):

 "َإِنَّه تَعَالَى كَانَ وَلاَ مَكَان فَخَلَقَ الْمَكَانَ وَهُوَ عَلَى صِفَةٍ الأَزَلِيَّةِ كَمَا كَانَ قَبْل خَلْقِهِ المَكَان لاَ يَجُوزُ عَلَيهِ التَّغَيُّرُ  فِي ذَاتِهِ وَلاَ التَّبْدِيل فِي صِفَاتِهِ" اه. نقله 
عنه الزبيدي في كتابه (إتحاف السادة المتقين


Maksudnya: Sesungguhnya Allah ta'ala ada pada azal(tanpa permulaan) dan tiada tempat, kemudian Dia telah menciptakan tempat dan Dia kekal atas sifat azaliyah sebagaimana Dia ada pada azal sebelum Dia menciptakan tempat, mustahil (pada akal) ke atasNya berlaku perubahan pada zatNya dan mustahil juga berlaku pertukaran pada sifatNya.


Dan telah berkata Sayyiduna Ahmad Ar-Rifa'i rahimahullah (w. 577H):

Saturday, November 12, 2011

Makna أشهد أن لا إله إلا الله Siri 3

Maka, kesimpulan daripada makna syahadah pertama yang lalu adalah ketetapan 13 sifat bagi Allah. Tiga belas sifat yang wajib bagi Allah ini wajib atas setiap mukallaf mengetahuinya, namun tidak wajib ke atasnya mengingati lafaz-lafaz bagi sifat-sifat ini, tetapi wajib meyakini akan makna-maknanya.  Tiga belas sifat ini berulang-ulang sebutannya sama ada dengan lafaz yang zahir atau dengan makna yang datang dari Al-Quran dan Al-Hadis. 13 sifat ini adalah :
1. Wujud iaitu bahawasanya Allah itu wujud, firman Allah ta'ala :  
                                        أفي الله شك 
    maksudnya : tiada syak pada kewujudan Allah

2. Esa, iaitu Dialah yang Esa yang tiada sekuti bagiNya(pada zat,sifat dan perbuatan), firman Allah ta'ala:
                                     قُلْ هُوَ اللهُ أَحَد 
   maksudnya  : Katakanlah wahai Muhammad, Allah itu Esa (tiada sekutu bagiNya)

3. Sedia iaitu yang tiada permulaan bagi wujudNya, firman Allah ta'ala:
                                    هو الأول والآخر
   maksudnya: Dia yang tiada permulaan bagi kewujudanNya dan tiada pengakhiran bagi kewujudanNya

4. Kekal iaitu tiada penghujung bagi kewujudanNya, tidak Dia mati, tidak binasa dan tidak, berubah, firman Allah  :  
                                   ويبقى وجه ربك 
      maksudnya : dan kekallah zat tuhanMu

5. Tidak berhajat pada suatupun, firman Allah :
                              فَإِنَّ اللهَ غَنِيٌّ عَنِ العَلَمِين
      maksudnya  : Maka sesungguhnya Allah tidak berhajat pada sekalian alam 

6. Berkuasa, Allah berkuasa atas setiap sesuatu yang harus ada iaitu yang harus secara aqal adanya dan tiadanya, dengan sifat kuasaNya yang azali, Dia menjadikan dan meniadakan, firman Allah ta'ala: 
                                وَهُوَ بِكُلِّ شَيْءٍ قدير
      maksudnya  : Dan Dia berkuasa atas setiap makhluk.

7. Berkehendak,firman Allah ta'ala : 
                               وَمَا تَشَاءُونَ إِلَّا أَن يَشَاءَ الله
      maksudnya : dan tidaklah kamu berkehendak melainkan Allah jua yang berkehendak pada azal

8. Mengetahui, Allah mengetahui setiap sesuatu dengan ilmuNya yang azali, firman Allah ta'ala: 
                                   وَهُوَ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيم
      maksudnya : dan Dia mengetahui tiap-tiap sesuatu

9. Mendengar, Allah mendengar dengan sifat mendengar yang azali,mendengarnya Allah tidaklah seperti mendengarnya kita, Allah mendengar tanpa alat dan tanpa berjarak

10. Melihat, Allah melihat dengan sifat melihat yang azali, melihatnya Allah tidak sama dengan melihatnya makhluk, Allah melihat dengan tanpa alat dan tanpa berjarak, Firman Allah ta'ala :
                                 وَهُوَ السَّمِيعُ البَصِير 
      maksudnya : dan Dia maha mendengar lagi maha melihat

11. Hidup, iaitu Allah hidup dengan sifat hidup yang azali lagi abadi, hidupnya Allah bukanlah dengan ruh, daging dan darah, firman Allah ta'ala : 
                                      هُوَ الحَيُّ الَقيُّوم
      maksudnya : Dia yang maha hidup lagi maha kekal

12. Berkata-kata, iaitu Allah berkata-kata dengan sifat kata-kata yang azali lagi abadi, Dia berkata-kata tanpa huruf, bahasa dan suara, firman Allah ta'ala:
                                     وَكَلَّمَ اللهُ مُوسَى تَكْلِيمًا
      maksudnya : dan Allah benar-benar berkata dengan Musa 

13. Besalahan dengan segala yang baharu,iaitu Allah tidak menyerupai makhluknya, firman Allah ta'ala: 
                                      لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ 
     maksudnya : tiada sesuatupun yang menyerupai Allah walau pada satu sudut sekalipun

Oleh kerana sifar-sifat ini banyak disebutkan dalam nas-nas syara', para ulama' telah berkata "wajib mengetahui sifat-sifat ini atas setiap mukallaf". Wajib juga beriktiqad bahawa sifat-sifat ini semuanya adalah azali(tiada permulaan) sebagaimana zat Allah itu azali(tiada permulaan), kerana baharunya sifat memestikan baharunya zat. Semoga Allah memberi kita kefahaman dalam agamanya. Wallahu a'alam wa ahkam.

Tuesday, November 8, 2011

Makna أشهد أن لا إله إلا الله Siri Dua

Wajib ke atas setiap Muslim beriman dengan Allah subhanahu wa ta'ala dengan mengimani bahawasanya Allah itu wujud dan tiada syak pada kewujudan-Nya, serta beriman bahawasanya Allah jualah pencipta setiap sesuatu dan Dia tidak sama dengan ciptaanNya.

   Dalil daripada Al-Quran yang mensucikan Allah daripada menyerupai makhluk-Nya ialah firman Allah ta'ala dalam Surah Asy-Syura ayat 11 :
    لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ وَهُوَ السَّمِيعُ البَصِير
Maksudnya: tiada suatupun yang menyerupai Allah walau pada satu sudut sekalipun dan Dia maha mendengar lagi maha melihat.

Maka fahamlah di sini bahawasanya wujud Allah tidak sama dengan makhlukNya,  Dialah yang wajib ada iaitu tidak tergambar pada pemikiran akan tiadaNya sedang selainNya harus ada dan adanya itu dengan ciptaan Allah, wujudNya Allah tanpa permulaan sedang selainNya adalah baharu iaitu ada permulaan, Allah jualah pencipta sedang selainNya adalah dicipta.  Maka setiap perkara baharu yang masuk dalam kewujudan, daripada benda-benda dan kerja-kerja, daripada sekecil-kecil benda yang dapat dilihat dengan mata kasar iaitu zarrah malah yang lebih kecil daripada itupun hinggalah sebesar-besar benda dari segi saiz iaitu 'arasy adalah dengan ciptaan Allah, begitu juga setiap gerakan bagi hamba, diamnya, segala niatnya dan lintasan dalam fikirannya, semuanya adalah dengan ciptaan Allah semata-mata. Tiada yang menciptanya selain daripada Allah, bukanlah semula jadi dan bukan juga sebab yang menciptakan bahkan adanya kesemua makhluk dengan kehendak Allah dan kekuasan-Nya, dengan ilmuNya dan ketentuanNya yang azali(yang tiada permulaan), ini berdasarkan firman Allah ta'ala :
وَخَلقَ كُلَّ شَيْء 
Maksudnya : Dan Dialah yang  mencipta tiap-tiap sesuatu (Surah Al-Furqan, ayat 2)
             
Maksud perkataan خلق (mencipta) pada ayat ini adalah yang mengeluarkan sesuatu daripada tiada kepada ada, maka fahamlah dari ayat ini bahwa tiadalah yang mencipta selain dari Allah.

Firman Allah ta'ala:
هَلْ مِنْ خَالِقٍ غَيْرُ الله 
Maksudnya : Allah jua pencipta, tiada yang mencipta selain Allah (Surah Fathir, ayat 3)

Bagi memahamkan tentang perkara ini, hendaklah kita merujuk para ulama', antaranya ialah Imam Nasafi rahimahullah. Beliau telah berkata dalam kitabnya Matan Aqidah An-Nasafiyah pada menerangkan tentang perkara ini dengan makna: "Apabila seseorang melempar batu ke arah kaca dan dia telah memecahkan kaca tersebut, maka perbuatan melempar batu, hentaman  batu dengan kaca, retakan yang ada pada kaca dan pecahnya kaca semuanya adalah dengan ciptaan Allah, bukan dengan ciptaan hamba, tiada bagi hamba melainkan kasb (mengarahkan niat dan kehendaknya untuk melakukan suatu perbuatan dan pada saat itulah Allah menciptakan dan menampakkan perbuatan tersebut), yang mencipta hanya Allah sahaja, firman Allah:

لَهَا مَا كَسَبَتْ وَعَلَيْهَا مَا اكْتَسَبَت   
Maksudnya: bagi seseorang itu ganjaran bagi kasabnya daripada perkara kebaikan, dan ke atas seseorang itu balasan bagi kasabnya daripada perkara keburukan. (Surah Al-Baqarah, ayat 286)

Faedah: Perbuatan hamba sama ada secara pilihan seperti mengangkat tangan atau bukan dengan pilihan seperti berdegupnya jantung, semuanya adalah dengan ciptaan Allah dan bukanlah dengan ciptaan hamba. Segala yang ada di alam ini berlaku  dengan kehendak Allah dan kekuasaanNya serta ilmuNya yang azali, dan telah pun ditentukan oleh Allah pada azal, kehendak Allah dan ilmuNya tidak berubah, apa yang Dia telah kehendak pada azal pasti akan berlaku dan apa yang Dia tidak kehendak pada azal pasti tidak akan berlaku, dan tidaklah kehendak Allah itu bersalahan dengan IlmuNya.

#Kesimpulan: Hanya Allah sahaja yang mencipta, hanya Dialah pencipta, tiada yang mencipta selain Allah.. Selain dari Allah adalah ciptaan, sesuatu ciptaan ada ketentuan baginya, ada bentuk yang tertentu, tempat yang tertentu, arah yang tertentu, serta proses yang tertentu, sesuatu yang ada ketentuan berhajat kepada yang menentukannya pada satu keadaan bukan pada keadaan yang lain, yang berhajat itu lemah dan yang lemah itu bukanlah tuhan, maka Allah tiada bagiNya ketentuan, Dia tidak sama dengan ciptaan. Wallahu'alam

   

Makna أشهد أن لا إله إلا الله

Memeluk agama Islam adalah kewajipan atas setiap mukallaf. Mukallaf yang dimaksudkan di sini adalah orang yang beraqal, baligh dan telah sampai padanya asal dakwah Islam iaitu telah sampai kepadanya kalimah لا إله إلا الله  محمد رسول الله atau yang semakna dengannya. Maka, wajib atas mukallaf yang belum menjadi muslim masuk ke dalam agama Islam serta merta dengan mengucapkan dua kalimah syahadah, dan kemudian wajib atasnya kekal dalam Islam serta melakukan segala yang ditetapkan dalam Islam dengan melakukan segala suruhan sebagaimana yang disuruh dan meninggalkan segala larangan. Oleh itu, wajib atas mukallaf yang kafir tahu dan yakin dengan sebenar-benarnya akan makna dua kalimah syahadah serta mengucapkan dua kalimah syahadah tersebut serta merta, dan bagi Muslim pula wajib menyebutkan dua kalimah syahadah di dalam solat ketika tasyahhud, dua kalimah syahadah tersebut adalah:

                                  أشهد أن لا اله إلا الله و أشهد أن محمدا رسول الله


 '"Aku bersaksi bahawa tiada tuhan  melainkan Allah   dan aku bersaksi bahawa Muhammad itu persuruh Allah"

Makna aku bersaksi: aku tahu, aku yakin dan aku ucap
Makna tiada tuhan melainkan Allah: tiada tuhan yang layak disembah dengan sebenar-benarnya  melainkan Allah, 
Makna yang disembah adalah yang diberi sehabis-habis ketundukan dan setinggi-tinggi keagungan

Maka makna Syahadah Pertama adalah aku tahu dan yakin dengan hatiku dan aku ucap dengan lisanku bahawa tiada tuhan yang berhak diberikan sehabis-habis ketundukan dan setinggi-tinggi keagungan dengan sebenar-benarnya melainkan Allah

Adapun makna Syahadah kedua insyaallah akan diterangkan pada artikel yang akan datang.

  Terkandung dalam makna syahadah pertama mengenal akan sifat-sifat Allah ta'ala antaranya: 
Esa iaitu tiada sekutu bagiNya dan tidak menerima belah bahagi kerana Dia bukan jisim, 
Al-Qadim: Yang tiada permulaan bagi kewujudanNya iaitu Dia ada tanpa didahului dengan tiada
Al-Hay: Yang bersifat dengan sifat hidup, hidupnya Allah tidak seperti hidupnya kita, hidupnya kita dengan ruh,jasad,darah,daging,tulang dan otak, adapun hidupnya Allah tidak sama dengan makhluk, bahkan hidupnya Allah tanpa permulaan dan tanpa pengakhiran 
Al-Qayyum: Yang tidak berhajat kepada sesuatupun, 
Ad-Daaim: Yang bersifat dengan sifat kekal iaitu tidak binasa, 
Al-Khaliq: Yang mencipta setiap sesuatu,
Ar-Raaziq: Yang mengurniakan rezki kepada makhluk,
Al-'Aalim: Yang bersifat dengan ilmu, Allah maha mengetahui setiap sesuatu, Dia bersifat dengan sifat ilmu yang tiada permulaan dan tiada pengakhiran, Ilmunya tidak bertambah dan tidak berkurang dan tidak berubah serta tidaklah mempunyai pembaharuan. 
Al-Qaadir: Yang bersifat dengan sifat kuasa, Allah maha berkuasa atas setiap makhluk 
Perbuat bagi semua perkara yang Dia kehendak (Perkara yang Dia kehendak pada azal, pasti berlaku, dan perkara yang Dia tidak kehendak pada azal pasti tidak berlaku), 
Allah bersifat dengan setiap sifat kesempurnaan yang layak bagiNya, maha suci Allah daripada sebarang sifat kekurangan pada zatNya.

Faedah: Tidak menjadi syarat untuk masuk kedalam agama Islam dengan mengetahui dahulu Islam dengan secara terperinci bahkan seseorang yang berakal dan baligh menjadi mukallaf dengan semata-mata telah sampai kepadanya asas dakwah Islam iaitu "tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan Muhammad pesuruh Allah" atau semakna dengannya. Maka wajib dia masuk ke dalam Islam serta merta dengan mengucap dua kalimah syahadah dan tidak menjadi syarat baginya untuk melafazkan dua kalimah syahadah dalam bahasa arab bahkan sah Islamnya jika dia ucapkan dua kalimah syahadah dengan bahasa selain bahasa arab sedang dia tahu dan yakin akan makna dua kalimah syahadah.  

#Kesimpulan daripada itu, Allah bersifat dengan sifat-sifat kesempurnaan yang layak bagiNya, Allah tidak berhajat pada sesuatupun daripada makhluk ciptaanNya, Allah pencipta arah dan tidak berhajat kepada arah, Allah pencipta tempat dan tidak berhajat kepada tempat, Allah ada tanpa berbentuk, Allah tidak beranggota kerana dia bukan seperti makhluk,Allah bukan sedang duduk di atas 'arasy kerana Allah yang menciptakan 'Arasy, Allah bukan dilangit kerana Dia yang menciptakan langit, Allah bukan dimana-mana. Allah ada tanpa tempat  

Inilah aqidah ahli sunnah  wal jama'ah, aqidah para nabi dan sahabat nabi, aqidah para ulama' salaf dan khalaf, aqidah yang benar adalah aqidah yang mengikut Imam Abu Hassan Asy'Ari dan Iman Abu Mansur Al-Maturidi. Kita semua di Malaysia dan majoriti Ulama' Islam adalah Asy'irah dan Maturidiah.