la ilahaillallah

la ilahaillallah

Tuesday, November 8, 2011

Makna أشهد أن لا إله إلا الله

Memeluk agama Islam adalah kewajipan atas setiap mukallaf. Mukallaf yang dimaksudkan di sini adalah orang yang beraqal, baligh dan telah sampai padanya asal dakwah Islam iaitu telah sampai kepadanya kalimah لا إله إلا الله  محمد رسول الله atau yang semakna dengannya. Maka, wajib atas mukallaf yang belum menjadi muslim masuk ke dalam agama Islam serta merta dengan mengucapkan dua kalimah syahadah, dan kemudian wajib atasnya kekal dalam Islam serta melakukan segala yang ditetapkan dalam Islam dengan melakukan segala suruhan sebagaimana yang disuruh dan meninggalkan segala larangan. Oleh itu, wajib atas mukallaf yang kafir tahu dan yakin dengan sebenar-benarnya akan makna dua kalimah syahadah serta mengucapkan dua kalimah syahadah tersebut serta merta, dan bagi Muslim pula wajib menyebutkan dua kalimah syahadah di dalam solat ketika tasyahhud, dua kalimah syahadah tersebut adalah:

                                  أشهد أن لا اله إلا الله و أشهد أن محمدا رسول الله


 '"Aku bersaksi bahawa tiada tuhan  melainkan Allah   dan aku bersaksi bahawa Muhammad itu persuruh Allah"

Makna aku bersaksi: aku tahu, aku yakin dan aku ucap
Makna tiada tuhan melainkan Allah: tiada tuhan yang layak disembah dengan sebenar-benarnya  melainkan Allah, 
Makna yang disembah adalah yang diberi sehabis-habis ketundukan dan setinggi-tinggi keagungan

Maka makna Syahadah Pertama adalah aku tahu dan yakin dengan hatiku dan aku ucap dengan lisanku bahawa tiada tuhan yang berhak diberikan sehabis-habis ketundukan dan setinggi-tinggi keagungan dengan sebenar-benarnya melainkan Allah

Adapun makna Syahadah kedua insyaallah akan diterangkan pada artikel yang akan datang.

  Terkandung dalam makna syahadah pertama mengenal akan sifat-sifat Allah ta'ala antaranya: 
Esa iaitu tiada sekutu bagiNya dan tidak menerima belah bahagi kerana Dia bukan jisim, 
Al-Qadim: Yang tiada permulaan bagi kewujudanNya iaitu Dia ada tanpa didahului dengan tiada
Al-Hay: Yang bersifat dengan sifat hidup, hidupnya Allah tidak seperti hidupnya kita, hidupnya kita dengan ruh,jasad,darah,daging,tulang dan otak, adapun hidupnya Allah tidak sama dengan makhluk, bahkan hidupnya Allah tanpa permulaan dan tanpa pengakhiran 
Al-Qayyum: Yang tidak berhajat kepada sesuatupun, 
Ad-Daaim: Yang bersifat dengan sifat kekal iaitu tidak binasa, 
Al-Khaliq: Yang mencipta setiap sesuatu,
Ar-Raaziq: Yang mengurniakan rezki kepada makhluk,
Al-'Aalim: Yang bersifat dengan ilmu, Allah maha mengetahui setiap sesuatu, Dia bersifat dengan sifat ilmu yang tiada permulaan dan tiada pengakhiran, Ilmunya tidak bertambah dan tidak berkurang dan tidak berubah serta tidaklah mempunyai pembaharuan. 
Al-Qaadir: Yang bersifat dengan sifat kuasa, Allah maha berkuasa atas setiap makhluk 
Perbuat bagi semua perkara yang Dia kehendak (Perkara yang Dia kehendak pada azal, pasti berlaku, dan perkara yang Dia tidak kehendak pada azal pasti tidak berlaku), 
Allah bersifat dengan setiap sifat kesempurnaan yang layak bagiNya, maha suci Allah daripada sebarang sifat kekurangan pada zatNya.

Faedah: Tidak menjadi syarat untuk masuk kedalam agama Islam dengan mengetahui dahulu Islam dengan secara terperinci bahkan seseorang yang berakal dan baligh menjadi mukallaf dengan semata-mata telah sampai kepadanya asas dakwah Islam iaitu "tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan Muhammad pesuruh Allah" atau semakna dengannya. Maka wajib dia masuk ke dalam Islam serta merta dengan mengucap dua kalimah syahadah dan tidak menjadi syarat baginya untuk melafazkan dua kalimah syahadah dalam bahasa arab bahkan sah Islamnya jika dia ucapkan dua kalimah syahadah dengan bahasa selain bahasa arab sedang dia tahu dan yakin akan makna dua kalimah syahadah.  

#Kesimpulan daripada itu, Allah bersifat dengan sifat-sifat kesempurnaan yang layak bagiNya, Allah tidak berhajat pada sesuatupun daripada makhluk ciptaanNya, Allah pencipta arah dan tidak berhajat kepada arah, Allah pencipta tempat dan tidak berhajat kepada tempat, Allah ada tanpa berbentuk, Allah tidak beranggota kerana dia bukan seperti makhluk,Allah bukan sedang duduk di atas 'arasy kerana Allah yang menciptakan 'Arasy, Allah bukan dilangit kerana Dia yang menciptakan langit, Allah bukan dimana-mana. Allah ada tanpa tempat  

Inilah aqidah ahli sunnah  wal jama'ah, aqidah para nabi dan sahabat nabi, aqidah para ulama' salaf dan khalaf, aqidah yang benar adalah aqidah yang mengikut Imam Abu Hassan Asy'Ari dan Iman Abu Mansur Al-Maturidi. Kita semua di Malaysia dan majoriti Ulama' Islam adalah Asy'irah dan Maturidiah.

No comments:

Post a Comment