la ilahaillallah

la ilahaillallah

Tuesday, November 8, 2011

Makna أشهد أن لا إله إلا الله Siri Dua

Wajib ke atas setiap Muslim beriman dengan Allah subhanahu wa ta'ala dengan mengimani bahawasanya Allah itu wujud dan tiada syak pada kewujudan-Nya, serta beriman bahawasanya Allah jualah pencipta setiap sesuatu dan Dia tidak sama dengan ciptaanNya.

   Dalil daripada Al-Quran yang mensucikan Allah daripada menyerupai makhluk-Nya ialah firman Allah ta'ala dalam Surah Asy-Syura ayat 11 :
    لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ وَهُوَ السَّمِيعُ البَصِير
Maksudnya: tiada suatupun yang menyerupai Allah walau pada satu sudut sekalipun dan Dia maha mendengar lagi maha melihat.

Maka fahamlah di sini bahawasanya wujud Allah tidak sama dengan makhlukNya,  Dialah yang wajib ada iaitu tidak tergambar pada pemikiran akan tiadaNya sedang selainNya harus ada dan adanya itu dengan ciptaan Allah, wujudNya Allah tanpa permulaan sedang selainNya adalah baharu iaitu ada permulaan, Allah jualah pencipta sedang selainNya adalah dicipta.  Maka setiap perkara baharu yang masuk dalam kewujudan, daripada benda-benda dan kerja-kerja, daripada sekecil-kecil benda yang dapat dilihat dengan mata kasar iaitu zarrah malah yang lebih kecil daripada itupun hinggalah sebesar-besar benda dari segi saiz iaitu 'arasy adalah dengan ciptaan Allah, begitu juga setiap gerakan bagi hamba, diamnya, segala niatnya dan lintasan dalam fikirannya, semuanya adalah dengan ciptaan Allah semata-mata. Tiada yang menciptanya selain daripada Allah, bukanlah semula jadi dan bukan juga sebab yang menciptakan bahkan adanya kesemua makhluk dengan kehendak Allah dan kekuasan-Nya, dengan ilmuNya dan ketentuanNya yang azali(yang tiada permulaan), ini berdasarkan firman Allah ta'ala :
وَخَلقَ كُلَّ شَيْء 
Maksudnya : Dan Dialah yang  mencipta tiap-tiap sesuatu (Surah Al-Furqan, ayat 2)
             
Maksud perkataan خلق (mencipta) pada ayat ini adalah yang mengeluarkan sesuatu daripada tiada kepada ada, maka fahamlah dari ayat ini bahwa tiadalah yang mencipta selain dari Allah.

Firman Allah ta'ala:
هَلْ مِنْ خَالِقٍ غَيْرُ الله 
Maksudnya : Allah jua pencipta, tiada yang mencipta selain Allah (Surah Fathir, ayat 3)

Bagi memahamkan tentang perkara ini, hendaklah kita merujuk para ulama', antaranya ialah Imam Nasafi rahimahullah. Beliau telah berkata dalam kitabnya Matan Aqidah An-Nasafiyah pada menerangkan tentang perkara ini dengan makna: "Apabila seseorang melempar batu ke arah kaca dan dia telah memecahkan kaca tersebut, maka perbuatan melempar batu, hentaman  batu dengan kaca, retakan yang ada pada kaca dan pecahnya kaca semuanya adalah dengan ciptaan Allah, bukan dengan ciptaan hamba, tiada bagi hamba melainkan kasb (mengarahkan niat dan kehendaknya untuk melakukan suatu perbuatan dan pada saat itulah Allah menciptakan dan menampakkan perbuatan tersebut), yang mencipta hanya Allah sahaja, firman Allah:

لَهَا مَا كَسَبَتْ وَعَلَيْهَا مَا اكْتَسَبَت   
Maksudnya: bagi seseorang itu ganjaran bagi kasabnya daripada perkara kebaikan, dan ke atas seseorang itu balasan bagi kasabnya daripada perkara keburukan. (Surah Al-Baqarah, ayat 286)

Faedah: Perbuatan hamba sama ada secara pilihan seperti mengangkat tangan atau bukan dengan pilihan seperti berdegupnya jantung, semuanya adalah dengan ciptaan Allah dan bukanlah dengan ciptaan hamba. Segala yang ada di alam ini berlaku  dengan kehendak Allah dan kekuasaanNya serta ilmuNya yang azali, dan telah pun ditentukan oleh Allah pada azal, kehendak Allah dan ilmuNya tidak berubah, apa yang Dia telah kehendak pada azal pasti akan berlaku dan apa yang Dia tidak kehendak pada azal pasti tidak akan berlaku, dan tidaklah kehendak Allah itu bersalahan dengan IlmuNya.

#Kesimpulan: Hanya Allah sahaja yang mencipta, hanya Dialah pencipta, tiada yang mencipta selain Allah.. Selain dari Allah adalah ciptaan, sesuatu ciptaan ada ketentuan baginya, ada bentuk yang tertentu, tempat yang tertentu, arah yang tertentu, serta proses yang tertentu, sesuatu yang ada ketentuan berhajat kepada yang menentukannya pada satu keadaan bukan pada keadaan yang lain, yang berhajat itu lemah dan yang lemah itu bukanlah tuhan, maka Allah tiada bagiNya ketentuan, Dia tidak sama dengan ciptaan. Wallahu'alam

   

No comments:

Post a Comment